SEBANYAK 17 ‘nama besar’ dalam sukan air lumba perahu dijangka membangkitkan keterujaan penggiat dan peminatnya pada Regata Kalaka (Saratok) 2019 yang dijadual 13 sehingga 15 Disember depan.

Pengerusi sesi cabutan undi Kasdi Pandi memberitahu seperti dilapor Facebook Edisi Kalaka Saratok, Regata Kalaka tahun ini menjanjikan kemeriahan yang pasti luar biasa.

Malah katanya, sesuatu yang merugikan andai sesiapa yang tidak menyaksikannya nanti.

Menurutnya, antara nama besar yang bakal menggegarkan Saratok nanti seperti PBB Seri Sarawak, Barracuda, Mahkota Dewa Gedong, Jang Saribas, GP Binladen dan Cahaya Putri Ruai.

Antara lain pasukan Khazanah, Tuwak Atok, Sri Berjaya, JBT Beladin, Pantai Damai GP Binladen, Cahaya Sri Kupang, Cahaya Puteri Krian, MRT Gedong, Pansari, Wp Laut Biru dan Raja Burung Lang Ganas.

Daripada senarai yang diterima, perlumbaan kali ini boleh disifatkan sebagai pertarungan antara juara bertemu juara.

Selain itu, Regata Kalaka turut diserikan dengan acara lumba enjin pam.

Antara pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan seperti Pansari Air Asia 1, 2, 3 dan 4, Boeing K. P. G, Bukan Kaleng-kaleng, Saratok Pump Ski dan Saratok.Com.

Kasdi mengharapkan penganjuran kali ini berjalan lancar yang seterusnya kelak mampu menarik lebih penyertaan pada masa hadapan.