BINTULU: Lori ‘bonded’ yang di parkir tanpa pemandu di tepi jalan Jalan Spring, Lutong, Miri, pagi Ahad lalu, membongkar penemuan 3,140 liter minuman keras bernilai RM25,728.00 dengan cukai sebanyak RM49,307.09.

Pengarah Kastam Sarawak, Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam kenyataannya berkata lori itu ditemui diparkir pada jam 6. 15 pagi dan hasil aduan orang awam, sepasukan anggota penguatkuasa Bintulu kemudian melakukan pemeriksaan kerana mengesyaki lori itu membawa barangan tidak berkastam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemui sejumlah minuman keras dalam lori itu dan modus operandi yang dilakukan sindiket itu ialah menggunakan lori itu untuk menghantar barangan seludup terbabit ke premis-premis di sekitar Bandaraya Miri.

Jumlah keseluruhan duti atau cukai terhadap minuman keras itu adalah sebanyak RM 49,307.09 dan lori ‘bonded’ berserta muatan dirampas dan dihantar ke stor penguatkuasaan Miri untuk siasatan lanjut, katanya.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan tidak berkastam di mana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda sepuluh kali ganda nilai barang ataupun seratus ribu ringgit ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Halimah, dalam pada itu, mengharapkan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat sebarang aktiviti berkaitan penyeludupan barangan seperti rokok,minuman keras, mercun dan dadah supaya menghubungi talian bebas tol Kastam 1- 800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.