KUCHING: Nasib seorang bekas pemandu lori yang lumpuh setengah anggota badan akibat diserang angin ahmar, mendapat perhatian Biro Sosial dan Kebajikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Paya Mebi apabila menyumbang sebuah kerusi roda kepadanya.

Reduan Piee, 56, dari Kampung Paya Mebi di sini yang kini lumpuh setengah anggota badan, menerima bantuan kerusi roda itu yang diserahkan oleh Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi, Shamsudin Unai, hari ini.

Justeru, Reduan yang hanya mampu bangun dan berjalan perlahan-lahan dengan sokongan tongkat merakamkan penghargaan kepada Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi di atas keprihatinan terhadap nasibnya.

“Terima kasih di atas sumbangan ini. Dengan adanya kerusi roda ini, dapatlah saya bergerak lebih mudah,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Melaka, sebelum diserang angin ahmar pada empat tahun lalu.

Sementara, Shamsudin yang juga Setiausaha Cawangan PBB Batu Kitang berkata sumbangan kerusi roda itu merupakan program Bantuan Kasih anjuran Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi.

Beliau menambah bantuan amal itu adalah untuk memupuk sifat toleransi, kasih sayang  serta semangat perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum.

“Ini adalah program berterusan Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi dan kami berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban golongan memerlukan,” katanya ketika ditemu-bual.

Penyerahan sumbangan kerusi roda itu turut disaksikan oleh Ketua Kampung Paya Mebi, Ismail Tanggok.

Program Bantuan Kasih Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi bermula sejak tahun 2003 dan pelbagai bantuan telah disampaikan kepada golongan memerlukan seperti kerusi roda, persekolahan, makanan dan banyak lagi.