KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan polisi liberalisasi dasar bekalan gula dan permohonan terbuka kepada mana mana pengeluar minuman dan makanan (F&B) di Sarawak.

Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen berkata, ia terbuka kepada semua pengusaha F&B tidak kira besar atau kecil.

“Kami tidak memerlukan hubungan seperti yang berlaku semasa pemerintahan BN dahulu.

Setakat ini, kesemua 11 pemohon yang memohon permit import gula tersebut itu mendapat permit import yang dikeluarkan.

“Ada yang dapat lebih, ada yang dapat kurang. Ia bergantung kepada penggunaan gula dalam pengeluaran produk mereka,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Dalam hal yang sama, beliau mempersoalkan SUPP, “Mengapa mereka terus menentang polisi liberalisasi dasar bekalan gula tersebut?” Soalnya lagi,

“Adakah SUPP mempunyai hubungan dengan dua syarikat penapisan, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR)?

“Mengapa SUPP melindungi kepentingan perniagaan MSM dan CSR dengan membebankan perbelanjaan pengeluar F&B Sarawak?

“SUPP telah menjadi parti komponen BN yang mewujudkan monopoli bekalan gula di Malaysia oleh MSM dan CSR.

“Adakah ini punca SUPP kini memberi tumpuan untuk mencemar dan menipu tentang polisi liberalisasi dasar bekalan gula Pakatan Harapan?” soalnya tegas.

Beliau menjelaskan, KPDNHEP akan meneruskan polisi berkenaan untuk pengeluar F&B di Sarawak dan Sabah.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak pengeluar F&B di Sabah dan Sarawak memohon permit import gula untuk pengeluaran mereka,” tambahnya.