KUCHING: Segmen peningkatan pendapatan terkumpul daripada perbelanjaan pelancongan dalam negeri dan perbelanjaan pelancongan domestik berjumlah RM4.1 bilion.

Sehubungan itu, berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 dari Jabatan Perangkaan Malaysia, KDNK Sarawak meningkat sebanyak 2.0 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun 2017.

Ketua Jabatan Perangkaan Statistik Malaysia, Datuk Seri Uzair Mahidin berkata, perkembangan pesat industri pelancongan di Sarawak diyakini dapat memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih memberangsangkan.

Menurutnya, ia sejajar dengan prestasi positif yang ditunjukkan oleh Sarawak dalam menyumbang kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018.

“Dalam konteks Malaysia, setiap negeri masing-masing bergerak ke arah peningkatan prestasi ekonomi maju dan Sarawak juga tidak ketinggalan dalam usaha tersebut.

“Tahun ini Sarawak berjaya naik dari tempat keempat pada 2017 kepada tempat ketiga sebagai penyumbang tertinggi untuk KDNK negara pada tahun 2018,” ujar Uzair. Beliau berkata demikian pada sidang media setelah selesainya majlis pelancaran Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sarawak (RSTA) semalam.

Uzair berkata, Kerajaan Sarawak bertungkus lumus dalam membangunkan industri pelancongan di negeri ini. Katanya, industri pelancongan di Sarawak ini mempunyai pelbagai rangkaian dan penglibatan ratusan industri yang bukan sahaja dari aspek perhotelan, perkhidmatan tetapi juga bidang lain.

“Kepesatan industri ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengamal industri yang terlibat malahan ia juga turut memberi kesan yang baik kepada masyarakat formal di negara ini,” jelas Uzair.

Terdahulu, Sarawak mencatatkan sumbangan tertinggi ketiga dengan 9.7 peratus untuk produk domestik pertumbuhan negara negara selepas Selangor (23.7 peratus) dan W.P. Kuala Lumpur (16.1%).