KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk mengubah ekonomi luar bandar negeri ini ke arah yang lebih moden dan komersial melalui pertanian moden. Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Dr. Muhammad Abdullah Zaidel berkata, melalui pendekatan ini, penduduk luar bandar akan dapat menghasilkan produk pertanian berskala besar untuk dieksport.

“Untuk memastikan industri ini terus berkembang, kami akan meningkatkan rantaian penawaran dan nilai sektor pertanian.

“Bagaimanapun, pembangunan sektor ini akan mewujudkan jisim lebih besar di kawasan luar bandar sekali gus memberi impak kepada kelestarian ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada hari kedua Forum Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kelestarian (Saref) anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) di BCCK semalam. Menurut Abdullah, kewujudan jisim dalam kuantiti yang besar memerlukan penubuhan khidmat sokongan seperti kewangan, insurans, pendidikan, kesihatan dan aktiviti komersial lain yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi masyarakat luar bandar.

“Bagi memastikan daya maju strategi ini, kami perlu meningkatkan produktiviti menggunakan teknologi digital dan ketepatan pertanian. “Kami sedang menggiatkan lebih banyak inisiatif penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian, kualiti biosekuriti dan piawaian produk pertanian,” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, Sarawak merangka program jangka panjang dari 2016 hingga 2030 yang menelan kos RM192 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dalam tempoh 15 tahun atau purata RM12.8 bilion setahun.

“Kerajaan Sarawak kini sedang menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025.

“Ini kerana kami ingin mempercepatkan projek-projek pembangunan negeri dengan kemudahan asas sehingga ke kawasan pedalaman,” ujarnya.