KUCHING: Sarawak bakal mengikuti jejak Brunei, menjadi pembekal hidrogen kepada negara-negara yang menggunakan gas itu sebagai sumber bahan api seperti Jepun dan Korea.

Naib Presiden Eksekutif Strategi dan Pembangunan Korporat Sarawak Energy Berhad (SEB) Ting Ching Zung berkata, sebagai permulaan kerajaan negeri pada 25 Mei lepas telah melancarkan satu projek ujian dan pengoperasian loji perintis pengeluaran gas hidrogen dan stesen pengisian semula, yang juga merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Beliau berkata, pembinaan dan operasi loji hidrogen dan stesen isian semula itu dijalankan oleh SEB dengan kerjasama Linde EOX Sdn Bhd, anak syarikat Linde Malaysia.

Selepas itu, sebagai percubaan, katanya, kerajaan negeri memperkenalkan tiga buah bas menggunakan gas hidrogen untuk kegunaan orang awam di sekitar Kuching sebagai inisiatif untuk memperkenalkan pengangkutan awam mesra alam.

Menurut Ting, usaha membangunkan gas hidrogen itu bukan sahaja untuk kegunaan dalam sektor pengangkutan sahaja tetapi juga bagi memungkinkan Sarawak untuk menjadi pengeksport hidrogen dunia.

“Projek perintis ini dimulakan sebagai cara untuk kita (SEB dan Linde EOX Sdn Bhd) mengumpul data-data yang berkenaan dalam usaha membangunkan tenaga boleh diperbaharui (gas hidrogen).

“Seterusnya untuk mewujudkan kesedaran kepada orang awam tentang penggunaan gas hidrogen sebagai bahan api dalam skala yang besar sebelum kita bergerak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan bersama pengamal media di loji hidrogen dan stesen pengisian semula gas hidrogen tersebut, di Bintawa, di sini, semalam.

Ting berkata, pengguna gas hidrogen di lihat sebagai masa depan dunia di mana kita tidak lagi bergantung kepada sumber bahan api yang mengeluarkan karbon seperti yang ada sekarang.

“Jadi ini (projek perintis) merupakan inisiatif untuk kita menyediakan diri kita menghadapi perubahan iaitu beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dalam menjaga alam sekitar,” katanya.

Setakat ini, loji perintis itu mampu menghasilkan 130 kilogram Hidrogen sehari pada tahap kebersihan 99.999 peratus serta berupaya menyokong dan memenuhi pengisian sehingga lima buah bas.

Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM16 juta bagi pelaksanaan loji pengeluaran hidrogen bersepadu dan stesen isian semula, termasuk bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan berkaitan hidrogen.– BERNAMA