KUCHING: Seramai 20 peserta terdiri daripada pengamal media sosial tempatan, usahawan dan belia akan menyertai Program Pembangunan Influencers Media Sosial Sarawak pada 15 Disember depan di Pusat Inovasi Warisan Kreatif SMA (CHIC).

Program berkenaan merupakan bengkel kedua dianjurkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang Sarawak (Azam).

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membina komuniti media sosial di Sarawak.

Menurut kenyataan medianya, program itu bertujuan untuk mencapai kandungan media sosial yang bernilai tinggi di Sarawak terutamanya dalam menjana pendapatan.

Peserta akan menyaksikan perkongsian daripada penceramah seperti Nadeha Kamaludin dari Universiti Teknologi Swinburne, Kuching dan YouTuber Fadhil Mohamad Isa, atau dikenali sebagai Cardock.

Program ini juga bertujuan untuk mengenali pengaruh media sosial tempatan yang boleh membawakan kandungan yang sihat kepada penyokong media sosial dalam kalangan rakyat Sarawak terutamanya golongan belia. 

Melalui sesi perkongsian bersama Cardock, peserta akan didedahkan cara untuk meningkatkan jumlah penonton dan mengoptimumkan kandungan siaran melalui aplikasi YouTube dan aplikasi perniagaan dalam talian.

Dekan Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Unimas rofesor Madya Dr Johari Abdullah, dan YouTuber Dalton Yeo berpusat di Kuching juga akan berkongsi langkah menangani cabaran dan merebut peluang dalam media sosial.

Acara hujung minggu ini susulan daripada bengkel pengenalan yang diadakan pada bulan Oktober lalu.