KUCHING: Program Hari Terbuka Masjid Terapung bertujuan untuk membuka pemikiran dan persepsi masyarakat bahawa masjid bukan hanya untuk orang Islam.

“Selain itu, objektif program juga adalah untuk menyahut seruan Kerajaan Sarawak ketika perasmian Masjid India pada 1 Mac lalu.

“Masjid India merupakan salah satu ikon Pelancongan Bandar Raya Kuching.

“Malah ia juga salah satu tempat untuk membina keharmonian dalam masyarakat majmuk tanpa mengira kaum dan agama di Sarawak,” kata Pengurus Hidayah Centre Foundation Sarawak (HCF), Fathurrahman Othman.

Tambahnya, bagi mengubah persepsi masyarakat ini pihak HCF mengadakan pelbagai program dengan kerjasama pelbagai pihak seperti JAIS dan Masjid India bagi menjemput dan mengalu-alukan seluruh masyarakat untuk memeriahkan program ini.

Beliau juga memberitahu program yang akan datang bersempena Tahun Baharu Cina, pihak HCF bakal mengadakan program bersama-sama masyarakat Cina di sekitar bandar raya Kuching.

Pelbagai aktiviti seperti Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Lawatan ke Masjid, Acara untuk kanak-kanak, gerai pameran dan gerai foto “Bagaimana Penampilan Saya Apabila Berhijab”.

Turut hadir ialah Pengerusi Masjid India Bandar Kuching Dr Shajahan Sayeed Ahmad dan Ketua Unit Latihan dan Pengimarahan, Bahagian Kemajuan Institusi Masjid, Jabatan Agama Islam Sarawak, Mohamad Isselahuddin Kameri.

Hidayah Centre (HC) ditubuhkan pada 2005 sebagai satu institusi yang berkhidmat untuk membina hubungan antara pelbagai komuniti yang berbeza etnik dan latar belakang agama di Malaysia.

Pada 29 Februari 2012, Hidayah Centre telah didaftarkan secara rasmi di bawah Biro Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri sebagai Hidayah Centre Foundation dan terdapat lebih 20 cawangan di Malaysia dan empat cawangan di Sarawak.