KETUA jurulatih Kuching FA, Ideris Untong mengalu-alukan kehadiran bekas pemain skuad Malaysia
Bawah 23 Tahun, Tommy Mawat Bada, 24, yang juga bekas pemain Sarawak.

Sebelum ini Tommy pernah menyertai kelab PKNS dalam saingan Liga Super 2019 dan kelab PJ Rangers 2018.

“Tommy akan menambah tonik di bahagian serangan,” kata Ideris kepada Suara Sarawak semalam.

“Pengalaman beraksi dalam Liga Super dan pengalaman beberapa tahun di Semenanjung pasti akan membantunya,” jelasnya.

Tommy merupakan pemain pertama yang menandatangani kontrak pada Sabtu lalu untuk menyarung jersi Kuching FA.

Tommy adalah antara produk Sarawak yang beraksi bersamasama pasukan Liga Super di Semenanjung Malaysia.
Empat lagi pemain ialah Ashri Chuchu, Rodney Celvin Akwensivie, Nur Shamie dan Shreen Tamby. Ashri beraksi dengan Kuala Lumpur selama beberapa musim, namun kembali kepangkuan Sarawak United 2020.

Manakala Nur Shamie dan Shreen pernah menyertai PJ Rangers pada 2017. Shreen kembali menyertai Sarawak 2019, manakala Nur Shamie menyarung jersi Negeri Sembilan.

Rodney yang beraksi di posisi pertahanan tengah masih kekal bersama-sama pasukan merah kuning, Selangor. Dia juga pernah dipanggil oleh Tan Cheng Hoe sebelum ini untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, tiga lagi import asing dalam buruan Kuching FA bagi memenuhi kuota empat import.

Sekarang ini, mereka hanya mempunyai seorang import asing, Yuta Suzuki dari Jepun.

Manakala tiga lagi slot akan diisi oleh empat calon iaitu, Francis Forkey Doe, dua pemain dari Jepun serta, seorang bekas pemain import JDT.

Sekitar tujuh hingga lapan muka baharu akan diambil Kuching FA bagi mengimbangi kekuatan kekuatan sedia ada.
Tiga daripadanya adalah pemain tempatan yang beraksi dalam Liga Kuching Lea Sports Centre (LSC). Mereka ialah Paul Sambang, Affry Shahrul Afendy dan Andy Nicolas Nipen.