MUKAH: Tidak lengkap sekiranya sambutan Krismas tidak diraikan dengan nyanyian lagu Krismas, ataupun caroling ke setiap rumah bagi menandakan Krismas menjelang tiba.

Tahun ini lebih 400 belia dan kanak-kanak menyertai enam kumpulan carolling yang diadakan di setiap 442 rumah di Kampung Tellian Daya dan Kampung Tellian Ulu Mukah.

Pengerusi Chapel St Anthony Marcellinus Selahat Sera mengucapkan terima kasih kepada belia yang terlibat menjayakan aktiviti yang diadakan selama enam malam di kampung berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam aktiviti kita pada tahun ini. “Diharapkan semangat kekitaan dan kerjasama daripada semua generasi muda dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Kesyukuran di Chapel Anthony.

Jelasnya lagi, tanpa sokongan warden, Komuniti Rukun Tetangga dan anggota Rela yang turut sama membantu, aktiviti itu mungkin tidak dapat dijayakan.

“Terima kasih juga kepada semua penduduk Kampung Tellian atas kesudian menerima persembahan belia dan derma yang dihulurkan kepada pihak gereja,” jelasnya lagi.

Aktiviti nyanyian lagu Krismas di Kampung Tellian berlangsung dari 9 hingga 14 Disember.

Caroling merupakan nyanyian kesyukuran sempena sambutan Krismas yang bakal diraikan dan membawa bingkisan doa bersamasama demi kesejahteraan pemilik rumah yang meraikannya