PASUKAN serba muda SSC PC menumbangkan juara Liga Kuching LSC, Yayasan Sarawak 4-2 melalui sepakan penalti dalam aksi menarik Kejohanan Bola Sepak Piala Abang Johari 2019 di Padang D Petra Jaya Kuching
petang semalam.

Kedua-duanya terikat 2-2 sepanjang 120 minit, namun tuah penalti memihak kepada SSC PC.

Yayasan mendahului 2-0, namun SSC PC bangkit menyamakan kedudukan 2-2.

Yayasan memulakan aksi dengan ‘langkah kanan’ apabila mendahului seawal minit ketiga menerusi bekas penyerang Sarawak, Mohamad Hadera Bakri.

Selang tiga minit Yayasan meledakkan gol kedua melalui Amirul Syafizan Mohamad Safri.

Namun SSC PC tidak mudah patah semangat apabila merapatkan jurang pada minit ketujuh menerusi Alphonsus Joseph Willie.

Dan Alphonsus sekali lagi bertindak hebat, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-75

Namun tiada jaringan sepanjang masa tambahan 30 minit menyebabkan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Jurulatih SSC PC, Mohd Yusop Toni berkata, ia merupakan satu kejayaan besar, mengalahkan pasukan pilihan.
“Semangat juang tinggi dan kecergasan para pemain membantu kami dalam perlawanan ini.

“Ketinggalan 2-0 dan diasak bertubi-tubi tidak mematahkan semangat para pemain,” jelas Yusop.

“Malah para pemain juga berjaya mengadaptasi teknikal dan taktikal yang kita terapkan,” ujarnya ketika ditemui Suara Sarawak petang semalam.