SIBU: Umpama menyerah diri – begitulah kisah dua anak beranak disyaki pengedar dadah yang datang ke Balai Polis Central melapor kenderaan mereka telah ditembak.

Kedua-duanya ditahan polis ketika membuat laporan mendakwa kenderaan pacuan empat roda ditembak oleh individu tidak dikenali.

Sebaliknya 35 minit sebelum laporan itu dibuat, Jabatan Narkotik IPD Sibu melaporkan sebuah kenderaan yang mencurigakan telah ditembak tayarnya selepas lolos daripada pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pada malam Jumaat sebuah kenderaan milik seorang individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Jalan Mission di sini ditahan untuk diperiksa.

“Pegawai polis cuba mengarahkan suspek menghentikan kenderaan yang dipandu suspek berusia 22 tahun pada jam 8.40 malam.

“Suspek diarah membuka pintu kereta di sebelah pemandu dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa.

“Suspek enggan untuk bekerjasama sebelum mengundurkan kenderaan dengan berbahaya ke arah anggota polis lain,” katanya dihubungi sebentar tadi.