SARAWAK akan menganjurkan Persidangan Asia Pasifik mengenai Analisis Prestasi Sukan 2021 (APCPAS 2021) setelah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) berjaya memenangi bidaan di Universiti Nagoya, Jepun pada 14 hingga 17 Oktober lalu ketika Persidangan Asia Pasifik mengenai Analisis Prestasi Sukan.

Ia diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr. Ong Kong Swee semasa proses pembidaan di Nagoya, Jepun dan disokong oleh Pengerusi Persatuan Analisis Prestasi Sukan Antarabangsa di Asia (ISPASA) Profesor Madya Dr. Tengku Fadilah Tenku Kamalden.

Kong Swee menjelaskan, persidangan adalah kesinambungan sekumpulan Saintis Sukan Antarabangsa untuk membangunkan bidang analisis prestasi sukan secara global.

“Ia juga sebagai platform untuk perkongsian ilmu dalam bidang analisis prestasi sukan dalam kalangan pengkaji dan pengamal sukan khususnya di Sarawak.

“Tarikh APCPAS keempat akan dimaklumkan kemudian, namun persidangan tersebut dijangka pada 2021.

“Jemputan ini akan menjadi progresif dan diperluaskan kepada semua pengamal analisis prestasi, jurulatih, saintis sukan dan pakar sukan di seluruh dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Melalui penganjuran persidangan ini, ia akan membantu meningkatkan tahap prestasi setiap sukan di Sarawak bersempena penubuhan Pusat Prestasi Tinggi di Sarawak.

Ia dilihat sebagai peluang keemasan untuk mendapatkan pemahaman dan pemindahan pengetahuan daripada pakar sukan dari seluruh dunia.

Beliau juga menambah bahawa ini adalah satu lagi langkah untuk Sarawak merealisasikan wawasannya sebagai kuasa sukan di Malaysia.

Di samping menganjurkan Persidangan Antarabangsa APCPAS keempat pada 2021, SSC juga memenangi satu lagi bidaan di Tokyo iaitu tuan rumah Sukan TAFISA-Asia untuk julung kali pada 2022 di Kuching.