KUCHING: Hujan lebat tidak menghalang Datuk Wee Hong Seng untuk melaksanakan kewajipannya sebagai Datuk Bandar Kuching Selatan.

Semalam, Hong Seng meluangkan masa melawat penghuni 31 rumah di Pangsapuri KMC untuk memberi bantuan kepada rakyat.

“Kami datang ke sini hari ini (semalam) untuk mengagihkan bantuan, bukan hanya kepada orang tua dan sakit, tetapi juga untuk kanak-kanak.

“Kami memberi bantuan dalam bentuk wang tunai kerana tahu sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh menggunakan wang itu untuk membeli kasut dan beg sekolah,” katanya ketika semasa lawatan, di sini semalam.

Wee berkata, sejumlah RM3,750 disumbangkan dan setiap isi rumah menerima minimum RM50 dan maksimum RM200.

“Semalam, kami juga menyumbangkan wang sebanyak RM1,000 ketika melawat hospital mental.

“Secara keseluruhan kami mengagihkan kira-kira RM5000 untuk bantuan akhir tahun,” jelasnya.

Katanya, walaupun ramai yang kurang bernasib baik telah dibantu dengan sewajarnya, masih ada masyarakat yang diabaikan.

“Mungkin ada terlepas pandang. Kami ingin menyumbang apa-apa sahaja bantuan yang boleh kami berikan kepada mereka.

“Jika ada ahli majlis mengetahui bahawa di kawasan kami ada orang kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan, sila maklumkan.

“Kami akan meneruskan usaha dan menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan,” katanya.

Hong Seng menegaskan pembiayaan yang digunakan untuk membantu penerima daripada dana pembiayaan masyarakat yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kami tidak menggunakan dana awam atau hasil cukai. Kami menggunakan dana kerajaan untuk projek kemasyarakatan bagi membantu golongan sasar,” ujarnya.