PENGAMBILAN terlalu ramai pemain muda tempatan yang kurang pengalaman dilihat sebagai antara punca kegagalan pasukan Sarawak 2019 yang menduduki tangga tercorot Liga Premier dan tewas 3-1 kepada pasukan kelab, Kuching FA dalam perlawanan play-off. Berikutan itu, mereka tersingkir daripada Liga Premier 2020 dan diturunkan ke Liga M3.

Bekas jurulatih Sarawak, Jalil Ramli berpendapat, tidak salah untuk mengambil ramai pemain tempatan untuk pasukan utama, tetapi biarlah mereka benar-benar bersedia.

Katanya, menyerapkan pemain tempatan yang belum bersedia adalah satu risiko besar kepada prestasi pasukan.

“Pilih pemain tempatan yang sudah bersedia, sudah terdedah dengan saingan kompetitif atau latihan.

“Misalnya pada era 1988 (Ngap Sayot)… Awang Mahyan (ketua jurulatih) mengambil semua pemain tempatan kerana mereka sudah bersedia.

“Ketika itu kami didedahkan dengan latihan di Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura,” kata Jalil kepada Suara Sarawak.

Pemain tempatan Sarawak ketika itu ialah Mohd Ali Sapiee, Affendi Jol, Roslan Ismail, Pengiran Bala, Burhaniza Abu Bakar, Jalil Ramli, Abu Bakar Amran, Razak Ismail, Azmi Arif, Daud, Khairol Jamel, Aedi Julaihi, Herman Bulang, Roslan Mustapha, Johnny Peter, Frankie Steven, Keryer Merai, Buseman Ismail, Sulaiman Mustanir dan Dollah Salim.

“Untuk melahirkan pemain tempatan berkaliber kita perlu mempunyai sistem dan program pembangunan yang konsisten dan baik,” jelasnya.

Jalil yang juga bekas ketua pasukan Bujang Senang pernah membantu Sarawak menjuarai Piala FA 1992, Liga Perdana 1997, Piala Sumbangsih 1998. Sebagai jurulatih dia membantu Sarawak ke final Piala Malaysia 1999 dan final Piala FA 2001.

Sementara itu, seorang lagi bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang menjuarai Liga Perdana 2013 dengan rekod tanpa kalah, menjelaskan, pemilihan pemain adalah atas dasar profesionalisme.

“Sebagai jurulatih, tugas saya bukan untuk memilih pemain terbaik di Sarawak, tetapi tugas saya adalah untuk memilih pemain terbaik untuk Sarawak, tanpa mengira dari mana asalnya,” katanya.

“Sudah pasti sesuatu yang bagus untuk memiliki semua pemain tempatan mewakili Sarawak pada masa akan datang.

“Tetapi kita mahu mereka bersedia dan mempunyai kualiti untuk bersaing di peringkat tinggi barulah kita serapkan mereka dalam pasukan utama,” jelas bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.

Antara pemain tempatan handalan di bawah kendalian Alberts ialah Joseph Kallang Tie, Ashri Chuchu, Sahrol Saperi, Zamri Morshidi, Hairol Mokhtar, Dzulazlan Ibrahim serta import asing handalan seperti Muamer Salibasic, Guy Bwele dan Junior Eldstal. Manakala import tempatan handalan ialah Bobby Gonzales.

Alberts yang juga pernah mengemudi Sarawak ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 mengesyorkan agar Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menitikberatkan program pembangunan yang betul jika mahu melahirkan ramai pemain tempatan berkualiti pada masa akan datang.

Sementara itu, ketika musim pertama bersama-sama pasukan Sarawak pada 1991, seorang lagi bekas jurulatih Sarawak, Alan Vest pernah menyatakan; “Pasukan Sarawak ketinggalan 10 tahun di belakang pasukan dari Semenanjung, kerana kekurangan liga tempatan yang kompetitif di samping kekurangan jurulatih bertauliah.

Malah pada awal kemunculannya, Vest mengakui hampir meninggalkan pasukan Sarawak.

“Para pemain kelihatan kecewa dan semangat mereka merudum… saya cukup kecewa dengan keadaan ini menyebabkan saya hampir pulang ke Perth. Malah saya juga hampir pasti menyertai pasukan Selangor.

“Namun tujuan saya ke sini (Sarawak) adalah untuk membentuk pasukan, kerana saya tidak akan pergi ke kelab yang sudah mempunyai nama,” ujarnya.

Bagaimanapun, usaha Vest membawa masuk tiga import dari Australia, John Hunter, David Evans dan Jeff Curran serta penjaga gol dari Melaka, Mazlan Wahid membuahkan hasil. Mereka berjaya membentuk gandingan mantap bersama-sama pemain tempatan seperti Zapri Manai, Roslan Ismail, Dahlan Matusin, Affendi Julaihi, Jalil Ramli, Sazali Ramli dan Ibrahim Mantali.

“Tiada hitam putih dalam bola sepak. Jika ingin berjaya kita mesti cukup realistik untuk berjaya dan wang memainkan peranan penting untuk kekal hebat,” kata Vest.

“Bagi saya, kekuatan pasukan Sarawak adalah adunan pemain yang betul… tempatan, import tempatan dan import asing,” katanya.

Antara pemain tempatan utama Sarawak pada 1997 ialah Mohd Ali Sapiee, Ibrahim Mantali, Affendi Julaihi, Ramos Sari, Ramles Sari, Bobby Pian serta import tempatan seperti Shamsurin Abdul Rahman, Mazlan Wahid dan Ahmad Fairuz Yunus. Manakala import asing ialah Alistair Edwards dan Billy Bone.

Bagi Awang Mahyan Awang Muhammad pula, semangat juang tinggi dan tip yang diberikan oleh Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sebagai ramuan penting pasukan Ngap Sayot 1988 yang mencetuskan fenomena.

“Saya tidak pernah jemu memberikan motivasi dan kata-kata semangat kepada para pemain kerana kelemahan Sarawak ketika itu adalah sikap rendah diri.

“Selain itu, Mokhtar juga memberi banyak tip kepada saya. Ketika itu skuad Sarawak berlatih tiga bulan di Kuala Lumpur… dan saya pula tinggal berdekatan dengan Mokhtar.

Daripada pasukan belasahan pada awal hingga pertengahan era 80-an, Mahyan berjaya membawa Sarawak ke separuh akhir Piala Malaysia 1988 dan suku akhir Piala Malaysia 1989. Ia adalah titik permulaan kebangkitan Sarawak yang kemudiannya disambung oleh Vest, Jalil dan Alberts.