PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) perlu bergerak seiring dengan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) untuk melahirkan lebih ramai pemain muda berkaliber dan berilmu di negeri ini.

Walaupun sebagai entiti yang berbeza, tetapi FAS dan NFDP tetap mempunyai fungsi yang hampir sama, merencana program pembangunan akar umbi untuk melahirkan generasi pemain muda yang akan menjadi harapan pasukan masa depan.

Menurut Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sarawak Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Hazry Abdullah, setiap ahli gabungan FAS perlu mempunyai program pembangunan akar umbi.

“Jika semua ahli gabungan FAS berfungsi ditambah dengan program NFDP… maka kita boleh melahirkan lebih ramai pemain yang bagus.

“Jadi ini tentunya memudahkan kita untuk memilih kelompok pemain terbaik. Oleh itu, FAS perlu memperbanyak kejohanan peringkat umur seperti Bawah 15, 16 dan 18 Tahun sepanjang tahun. Namun ia bergantung kepada sumber kewangan FAS,” kata Hazry.

“Seperti sebelum ini, FAS ada kejohanan Piala Datuk Taha (Bawah 18 Tahun) dan Piala Datuk Taib (Bawah 21 Tahun). Dengan adanya kejohanan seperti ini maka lebih mudah bagi kita memilih pemain untuk pasukan Piala Belia dan Piala Presiden… tidak perlu lagi merantau ke seluruh Sarawak mencari pemain.

“Namun harus diingat untuk melahirkan pemain bola sepak yang bagus kita memerlukan sekitar lima hingga enam tahun… malah 10 tahun. Ia bukanlah seperti mi segera, yang boleh masak dalam sekelip mata,” ujarnya.

Menurut Hazry yang mempunyai Lesen A Kejuruatihan dan telah pun 10 tahun mengendalikan NFDP, mereka mempunyai program pembangunan dua peringkat umur iaitu membabitkan usia 7-12 tahun dan 13-17 tahun. Setiap tahun 20 pemain berbakat dari seluruh Sarawak akan menyertai program tersebut.

Katanya, bagi sekolah rendah di berpusat di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu. Manakala sekolah menengah di Kuching, Bintulu, Miri dan Bau.

“Pemain cemerlang akan dihantar ke pusat Akademi Mokhtar Dahari (AMD), atau ke pusat Sukan Malaysia, Sukan Negeri dan Pusat Latihan Daerah.

“Sekarang ini terdapat lima pemain yang kita dihantar ke AMD, dua pemain ke Sekolah Sukan Malaysia dan lima pemain ke pusat latihan di Terengganu.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi prestasi mereka yang akan menerima latihan dan pendedahan yang lebih baik di sana,” ujar Hazry.

“NDFP berada di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN)… jadi kita bergerak tertakluk kepada bajet yang telah disediakan.

Sementara itu, menurut Hazry, Sarawak juga perlu mempunyai ramai jurulatih berkelayakan untuk berganding bahu, menggerakkan program pembangunan atau membimbing pasukan.

“Sekarang ini kita ada tiga pasukan utama, Sarawak United, Sarawak FA dan Kuching FA… jadi tentunya kita memerlukan jurulatih yang berkelayakan,” ujarnya.

Sekarang ini, Sarawak hanya mempunyai sekitar sembilan jurulatih yang mempunyai Lesen A dan kurang daripada 20 yang memiliki Lesen B.

“Pelbagai kursus kejurulatihan yang diadakan sekarang ini adalah satu petanda positif. Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) dan NFDP misalnya, juga ada mengadakan pelbagai kursus kejurulatihan,” jelasnya.