MUKAH: Sebuah filem dokumentari bertajuk Titanic Sarawak: Tenggelamnya M.V Pulau Kidjang menceritakan tragedi Pulau Kidjang yang karam pada 27 Disember 1973 – 46 tahun lalu dan bakal ditayangkan pada tahun hadapan di RTM.

Filem dokumentari itu hasil karya anak tempatan menerusi produksi Allen Tinggie Trading Sdn Bhd berpangkalan di Sarikei.

Penerbit filem Hereward Gramong menjelaskan, tragedi menimpa M. V. Pulau Kidjang merupakan sejarah terburuk Sarawak dan mengorbankan ramai nyawa.

“Ia juga mengubah undang-undang maritim dan memperketatkan aspek keselamatan penumpang.

“Saya merasakan perlunya sejarah ini diterbitkan secara visual.

Ia harus dipertontonkan kepada umum bagi mengenang kembali peristiwa menyedihkan terutamanya bagi penduduk di Sarikei, Tanjung Manis dan Gerigat Kabong.

“Terdapat mangsa selamat dan bersedia menceritakan secara peribadi pengalaman semasa melalui pelayaran itu,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Jelasnya, sebagai warga Sarikei menjadi tanggungjawabnya untuk mengenang kembali peristiwa yang hampir dilupakan oleh generasi muda.

Selain itu tambahnya, pelbagai cabaran dihadapinya dan terpaksa mencari pelbagai sumber untuk ditemu bual.

“Ada yang tidak mahu ditemu bual kerana terlalu sedih. Ada yang tidak mempunyai masa dan beberapa perancangan awal terpaksa dibatal.

“Kami berterima kasih kepada Jabatan Penerangan dan Jabatan Muzium kerana memberikan kerjasama tidak berbelah bahagi terutama menyediakan bahan sejarah dan gambar.

“Begitu juga kepada pegawai terlibat dalam ekspedisi kebanyakan sudah pencen. Mereka memberi gambaran jelas semasa ekspedisi menyelamat pada hari kejadian,” katanya.

Hereward menjelaskan, beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Laut Kuching yang memberikan kebenaran mengunakan kapal sebagai lakon semula.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuching turut membantu ketika penggambaran adegan cemas semasa ka-ramnya kapal itu,” katanya.

Ujarnya lagi, walaupun mula pihaknya menghadapi masalah berkaitan fakta tetapi ramai membantu menghulur bantuan dan idea serta menambah baik dokumentari ini.

Beliau berharap agar dokumentari itu mendapat sambutan baik daripada semua warga Sarawak juga semua yang berpeluang menonton.

“Saya berharap agar kita belajar daripada pe-ngalaman ini. Ambil iktibar dan semoga tidak berulang lagi.

“Saya berharap agar dokumentari ini mendapat sambutan dan menghayati kesedihan yang melanda pada masa tersebut,” ujarnya.

Produksi itu juga pernah menerbitkan beberapa karya seperti Manang (2012), Menoa Kamek (2013), drama Iban Taiko (2014), Tiga Kali Sayang (2015), Tawar (2016), Rahsia Bumi Kenyalang (2017), dan Syiling Opah (2018).

Manakala bagi dokumentari Pulau Kidjang pula akan disiarkan tahun hadapan, kini dalam proses terakhir sebelum disiarkan.