KUCHING: Perayaan Krismas disambut meriah dengan penganut agama Kristian mengadakan rumah terbuka dan amalan kunjung mengunjung yang menjadi tradisi di negeri ini. Menurut Nurhatika Maulat Jamat, 22, dari Melaka, beliau teruja menyambut Hari Krismas di Sarawak kerana kemeriahannya sangat berbeza, berbanding di Semenanjung.

“Sepanjang tiga tahun saya belajar di sini, banyak kenangan sambutan Hari Krismas yang tidak dapat dilupakan. Kenangan terindah ialah separuh rakan sekelas yang berasal dari Semenanjung bersama-sama mengunjungi rumah sahabat kami yang beragama Kristian walaupun ketika itu sedang menghampiri waktu peperiksaan akhir tahun.

“Pada Krismas tahun ini pula, kami berkunjung ke rumah salah seorang sahabat baik kami di Bau. Mereka melayani kami seperti keluarga sendiri walaupun berbeza agama,” kata Nurhatika. Tambahnya, Malaysia adalah negara yang unik terutama di Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik, namun penduduknya hidup dalam keadaan aman damai dan mempunyai ikatan persaudaraan yang erat.

Sementara itu, Ikmal Hakim Azhar, 22, dari Pulau Pinang, mengatakan rasa bersyukur kerana dapat menyambut perayaan Krismas bersama-sama sahabat yang berlainan agama. “Masyarakat di sini sangat peramah dan memahami walaupun berbeza anutan agama. Keunikan ini membuatkan saya berasa kagum dan jatuh hati kerana kepelbagaian yang ada. Mereka dapat hidup bersama-sama walaupun berlainan kaum dan agama.

“Krismas tahun ini sangat istimewa bagi saya kerana saya meraikan Krismas di Kampung Tellian, Mukah dengan keluarga sahabat saya Fredrick Lawrence.

Pelbagai aktiviti dilakukan seperti menganyam ketupat, menziarahi rumah saudara mara, lawatan ke tempat bersejarah iaitu Lamin Dana, mendayung sampan dan barbeku di tepi sungai pada malam Krismas.

Begitu juga dengan Muhamad Izhar Ariffin, 22, dari Pahang yang meraikan Hari Krismas bersamasama Ikhmal di Kampung Tellian, Mukah.

“Saya berasa seronok menyambut Krismas di perkampungan Melanau bersama-sama rakan. “Antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan di sini ialah menziarahi saudara rakan saya di sini dan saya dapat mempelajari bahasa Melanau.

Walaupun berbeza kaum dan agama namun sambutan perayaan di sini sangat meriah dan harmoni,” jelas Izhar. Bagi Nurul Fatiyah Rosli, 21, ini kali pertama beliau berada di Sarawak.

“Suasana perayaan Krismas di sini amat meriah dan sangat berbeza dari Semenanjung. Saya berpeluang berkunjung ke rumah panjang di Kampung Mongkos, Serian untuk melihat sendiri keunikan Krismas. “Banyak pengalaman baharu yang saya pelajari di sini seperti keunikan cara mereka menyambut perayaan Krismas, adat dan budaya. “Masyarakat beragama Islam di sini juga saling berkunjung di rumah rakan-rakan yang menyambut Krismas,” katanya.