Jumlah mangsa banjir menurun

KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini sejak 8 malam tadi menurun pagi ini berikutan banjir yang semakin surut.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail Mahedin berkata setakat 7 pagi ini hanya terdapat 58 orang daripada 13 keluarga di dua PPS itu berbanding 72 orang daripada 16 keluarga malam tadi.

Dua PPS itu Dewan Masyarakat Stapok dan Balai raya Kampung Jugan mula dibuka 8 malam tadi berikutan hujan lebat dan air pasang tinggi telah menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Di KOTA KINABALU, jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Selagon di Beaufort bertambah kepada 438 orang daripada 156 keluarga pada 10 pagi ini berbanding 427 orang daripada 153 keluarga malam tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan lebih 20 kampung di daerah  Beaufort dan Membakut terjejas banjir sejak Selasa lepas.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Kampung Poring dan Kampung Baitam Laut.

Setakat 9 pagi ini, paras air Sungai Padas mencatatkan bacaan terkini 7.09 meter  pada paras normal, manakala paras air Sungai Membakut pula merekodkan bacaan terkini 6.34 meter pada paras amaran. – Bernama

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak