80 atlet dari Bintulu akan beraksi  di SUKSAR 2019

BINTULU:  Seramai 80 atlet, jurulatih dan pengurus pasukan mewakili Bahagian Bintulu dalam Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Kedua 2019 yang akan berlangsung di bandaraya Miri pada 9 hingga 14 Disember ini.

Mereka akan bergabung bersama membentuk seramai 373 orang atlet dan pegawai dalam Kontinjen Zon Utara yang merangkumi bahagian Bintulu, Miri dan Limbang secara keseluruhannya.

Residen Bintulu Jack Aman Luat ketika merasmikan simbolik pelepasan kontigen memberitahu kontinjen Zon Utara – Bahagian Bintulu akan menghantar atlet bagi menyertai sebelas daripada 16 acara sukan yang akan dipertandingkan iaitu badminton, ragbi, hoki, tinju, petanque, olahraga, renang, silat, basikal, sepaktakraw dan badminton.

Beliau menaruh kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada semua atlet untuk mempamerkan semangat kesukanan yang jitu, tahap disiplin yang tinggi, menerima arahan jurulatih atau pengurus pasukan dengan baik, memberikan seratus peratus kerjasama dan tumpuan semasa bertanding selain menjaga keselamatan dan kesihatan diri sepanjang seminggu kejohanan SUKSAR berlangsung.

Jack turut berharap kontinjen Bintulu dan Zon Utara dapat melakukan yang terbaik bagi memecahkan rekod peribadi masing-masing, mendapatkan pingat sekaligus mengulangi kejayaan menjulang kejuaraan SUKSAR Edisi Kedua kali ini.

Beliau, dalam pada itu, berkata para atlet khususnya harus berasa bangga kerana terpilih menyertai salah satu kejohanan sukan yang berprestij di Sarawak iaitu SUKSAR.

Ini sudah tentulah bukan sesuatu perkara yang mudah, melainkan anda semua sememangnya sudah mempunyai bakat semulajadi dan telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap sukan yang diceburi seawal usia muda, ujarnya.

Malah, Jack yakin, pihak terbabit telah banyak mengorbankan masa, tenaga dan mungkin juga dari segi kewangan untuk berlatih samada secara persendirian ataupun bersama jurulatih mereka masing-masing.

Anda juga seharusnya mempunyai semangat yang tinggi dan menanamkan azam untuk membuat yang terbaik dan seterusnya memenangi pingat emas dalam acara yang anda wakili, kerana anda mungkin berpeluang untuk mewakili negeri Sarawak ke kejohanan sukan yang lebih besar di Malaysia pada masa hadapan terutamanya persiapan Sarawak menghadapi temasya Sukan Malaysia atau SUKMA, katanya.

Lebih-lebih lagi, misi Kontinjen Zon Utara pada kejohanan kali ini adalah untuk mempertahankan kejuaraan yang telah dimenangi semasa SUKSAR Edisi Pertama di Kuching pada tahun 2017,tambah Jack lagi.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Hussaini Hakim, Pegawai Tadbir Majlis Sukan Negeri Sarawak Bahagian Bintulu, Selin Anak Anggat, Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Bintulu Shahrizan Shapiee dan Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Bintulu, Shah Azizul hadir sama.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak