Bakal guru maut kemalangan

SIBU: Hasrat seorang wanita untuk memulakan tugasnya sebagai seorang guru tahun depan tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Takan, Song pagi semalam.

Mangsa maut selepas motosikal yang ditunggangnya bersama-sama rakannya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dan sebuah motosikal lain.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak yang menerima panggilan kecemasan daripada pihak IPD Song jam 8.47 pagi memberitahu mangsa yang dikenal pasti sebagai Laila Antau, 24, disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans Song di tempat kejadian.

Menurut kenyataan itu, kenderaan yang dipandu oleh seorang wanita berusia 37 tahun telah bertembung dengan dua buah motosikal.

“Komander operasi mendapati seorang penunggang wanita telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemboncengnya, 26, cedera di bahagian paha dan dua mangsa lain tidak cedera ,” kata kenyataan itu.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke Klinik Song manakala mangsa maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seramai empat anggota Bomba dari BBP Song terlibat dalam operasi tersebut dibantu oleh enam anggota polis dan tiga kakitangan Klinik Song.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Song, DSP Rowney Michael Jalak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya. Sementara itu, menurut maklumat daripada rakan, mangsa menuju ke Kapit untuk membuat urusan penempatan sekolah.

Mangsa merupakan graduan di sebuah institut perguruan di Semenanjung Malaysia dan baru sahaja menghadiri konvokesyen dua bulan lalu.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak