Banjir kilat landa Miri

MIRI: Beberapa kawasan rendah di bandar raya di sini dilanda banjir kilat pada awal pagi tadi disebabkan hujan lebat sejak semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Miri, Law Poh Kiong berkata, hujan lebat bermula jam 8 malam semalam hingga awal pagi jam 2 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah mengalami banjir kilat.

Antara kawasan yang terjejas dinaiki air ialah Kampung Lambir, Kampung Lusut, Taman Tunku, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan jalan dari Taman Tunku menuju ke Lapangan Terbang Miri.

Namun, tambahnya, keadaan beransur pulih apabila air mula surut sebaik saja hujan berhenti.

Setakat ini, katanya, keadaan masih terkawal dan belum ada penduduk dipindahkan namun penduduk dinasihatkan menghubungi pihaknya jika paras air semakin meningkat.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, beberapa penempatan lain di bahagian ini juga tidak terkecuali dilanda banjir tetapi tidak begitu serius.

Ujarnya, pasukan bomba akan membuat rondaan banjir di kawasan tersebut dari semasa ke semasa.

Suara Sarawak