Bina sistem perparitan, elak banjir kilat

BINTULU: Kepesatan pembangunan di bandar ini perlu mengambil kira keperluan sistem perparitan yang baik bagi mengelak banjir kilat setiap kali musim hujan.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu turun padang untuk melihat sendiri masalah berlaku seterusnya mencari jalan penyelesaian bersama.

“Pembangunan pesat di Bintulu perlu mengambil kira sistem perparitan sedia ada. Saliran parit yang sistematik perlu bagi memastikan air dapat mengalir dengan sempurna.

“Ini membolehkan pembangunan yang dibina tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Banjir Bahagian Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, semalam.

Pada mesyuarat itu, King Sing meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan konsultan berbincang dengan Pejabat Daerah Bintulu bagi menangani masalah sistem perparitan di Kampung Assyakirin yang sering dilanda banjir kilat.

“Sistem saliran yang ada di Kampung Assyakirin Fasa Satu, Fasa Dua dan Fasa Tiga perlu dinaik taraf sehingga ke muara.

“Ini bagi membolehkan air parit mengalir dengan lancar dan mengelak daripada tersekat yang boleh mengakibatkan banjir kilat,” ujarnya.

JPS Bintulu mencadangkan supaya dilakukan beberapa tindakan bagi mengurangkan banjir pada musim tengkujuh ini. Antara langkah yang dicadangkan ialah membersih dan membuang kelodak di Sungai Sibiew dan Sungai Sebab di Kampung Kemunting.

Selain itu, membina takungan air di kawasan berdekatan sebelum ia disalirkan ke parit supaya tidak m e l i m p a h semasa hujan lebat.

Suara Sarawak