Bintulu nadi utama ekonomi

BINTULU: Bintulu merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan negeri ini dan Malaysia amnya.

Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar berkata, hasil minyak dan gas yang mencecah RM200 juta sehari dari perairan Bintulu adalah sumber yang dijana bagi memacu pembangunan negara ini.

Menurut beliau, menerusi sumber pendapatan itu, Sarawak turut menerima pelbagai kemajuan dan pembangunan yang dinikmati hari ini.

“Namun, sumber pendapatan yang dijana dari hasil minyak dan gas perlu diagih secara saksama.

“Sarawak merupakan penyumbang besar kepada ekonomi Malaysia selama ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama-sama Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini baru-baru ini.

Isteri Asfia, Datuk Hajjah Fatimah Mohd. Iskandar, Timbalan Residen Bintulu Hussaini Hakim dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi turut hadir. Dalam perkembangan lain Asfia memberitahu, penubuhan BDA serta Agensi Pembangunan Wilayah Utara dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini. Katanya, kewujudan agensi pembangunan wilayah itu akan memastikan kemajuan dibawa secara bersepadu.

Suara Sarawak