Cuaca mendung halang lihat gerhana matahari

SARIKEI: Cuaca mendung sejak awal pagi membantutkan hasrat penduduk untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari di sini, hari ini.

Keadaan cuaca yang redup dan awan tebal menghadkan pemandangan orang ramai untuk melihat keajaiban alam yang jarang berlaku itu.

Fenomena itu dijangka berlaku di bahagian ini dalam tempoh lebih sejam lagi iaitu kira-kira jam 11.30 pagi.

Sehubungan itu, seorang penduduk, Abdul Latip Jemain, 45, ketika ditemui Suara Sarawak berharap keadaan cuaca bertambah baik.

“Sukar untuk meramalkan kerana keadaan cuaca sekarang tidak menentu apatah lagi dalam keadaan musim tengkujuh sekarang.

“Apapun saya mendoakan cuaca kembali cerah, agak rugi jika terlepas untuk menyaksikannya,” katanya.

Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari samada separa atau sepenuhnya.

Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer.

Suara Sarawak