Dana pendidikan untuk Bukit Saban

KUCHING: Dana pendidikan bagi membantu pelajar Bukit Saban untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi akan ditubuhkan tahun hadapan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, beliau bersama-sama Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat telah berbincang menubuhkan dana berkenaan. Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Krismas dan Tahun Baharu 2020 yang dianjurkan belia Bukit Saban di sebuah hotel, di sini malam semalam.

Uggah juga Adun Bukit Saban berkata, idea menubuhkan dana itu timbul semasa sesi dialog bersamasama 130 belia. Katanya, beliau dan Chuat sendiri mahu pelajar Bukit Saban dapat bersaingan dengan orang lain.

“Kami mahu mereka mempunyai pendidikan yang sangat baik. “Apabila mereka mempunyai pendidikan baik, mereka boleh mendapat pekerjaan dan taraf hidup lebih baik. “Mereka juga boleh memainkan peranan di kawasan ini. “Bahagian Betong mengalami perkembangan dan kemajuan yang semakin menonjol,” ujarnya.

Terdahulu Uggah berkata, beliau juga membantu belia yang mahu menubuhkan kumpulan kugiran. “Mereka boleh membuat persembahan pada majlis dan perayaan.

“Dan, ini perkara baik untuk belia mencungkil bakat mereka,” jelasnya. Turut hadir ialah Datin Amar Doreen Mayang, Chuat dan isterinya Datin Claudia Regina Janting, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr. Richard Rapu dan pengerusi kelab, Roseline Mapong Sabai.

Suara Sarawak