Duti import peralatan menangkap ikan dicadang dihapuskan

KUALA LUMPUR: Duti import terhadap peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring dan enjin dicadang dihapuskan bagi membantu meringankan bebanan golongan nelayan tradisi.

Senator Datuk Razali Idris berkata kebanyakan harga peralatan menangkap ikan kini meningkat berkali ganda berikutan kejatuhan Ringgit Malaysia berbanding dengan mata wang negara jiran terutamanya Thailand, negara pengeluar kebanyakan barangan itu.

“Pelbagai skim bantuan kepada golongan itu dan pesawah perlu diteruskan, selain memastikan setiap daripadanya sampai ke sasaran tanpa diseleweng pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di persidangan Dewan Negara, semalam.

RUU Perbekalan 2020 dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, pagi tadi.

Sementara itu, Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid pula mencadangkan agar hutang warga peneroka Felda dihapuskan sehingga 50 peratus.

“Jika benar kerajaan mahu membantu warga Felda, kita hapus kira hutang mereka sehingga 50 peratus pada tahun hadapan. Baru mereka rasa kerajaan membantu kerana jika tidak, mereka akan terus berhutang sepanjang hayat,” katanya.

Persidangan bersambung hari ini. – Bernama

Suara Sarawak