Fokus usia 18 tahun

SKUAD Kuching FA lebih fokus kepada generasi pemain muda yang berusia 18 tahun bagi mengharungi cabaran Kejohanan Piala Presiden 2020.

Menurut ketua jurulatih skuad Piala Presiden Kuching FA, Firdaus Morshidi yang juga bekas pemain Sarawak, ia adalah misi jangka panjang.

“Kami mahu memberi pendedahan yang sewajarnya kepada pemain muda ini.

“Apabila mereka berusia 21 tahun nanti, mereka akan mempunyai banyak pengalaman dan berpeluang untuk menyertai skuad senior Kuching FA,” ujarnya.

Menurut Firdaus, sejumlah 223 pemain menyertai sesi pemilihan yang diadakan di Padang KDFA, Taman Sourabaya Indah.

“Kami amat terkejut apabila melihat begitu ramai pemain yang datang.

“Jumlah terpaksa dikecilkan kepada 58 pemain pada hari ketiga pemilihan… dan kita akan pantau secara terperinci sebelum membentuk jumlah yang lebih kecil,” katanya kepada Suara Sarawak.

“Kriteria pemilihan kami adalah lebih kepada potensi seseorang pemain… iaitu mempunyai peluang yang baik untuk mara lebih jauh dalam sukan ini.

“Jadi kami perlu melakukan penilaian secara teliti untuk mencapai misi ini,” ujar Firdaus.

Firdaus merupakan bekas pemain pertahanan Sarawak dan pernah menyertai program MyTeam suatu ketika
dahulu.

Sekarang ini, dia aktif dalam bidang kejurulatihan dengan beberapa buah pasukan.

Pencapaian terbaharunya ialah mengemudi Yayasan Sarawak menjuarai Liga Kuching Lea Sports Centre (LSC) 2019 setelah mengalahkan skuad Pantai Damai 3-1 dalam aksi penentu juara.

Suara Sarawak