Hadiah Krismas untuk Unifor

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan peruntukan RM50 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) pada tahun hadapan sebagai hadiah Krismas yang sangat bermakna bagi penganut Kristian dan masyarakat bukan Islam yang lain di negeri ini.

Beliau yang bertanggungjawab terhadap unit berkenaan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya sangat gembira mengumumkan pada tahun depan, Abang Johari bersetuju memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada Unifor.

“Ini sudah pasti menjadi hadiah sambutan Krismas yang hebat kepada penganut Kristian dan masyarakat bukan Islam yang lain di negeri ini.

Terima kasih Abang Johari!” katanya dalam perutusan Hari Krismas di sini, semalam.

Jelasnya, peruntukan tersebut membolehkan Unifor melaksanakan lebih banyak projek dan program pembangunan demi manfaat bersama.

Malah menurutnya lagi, pada tahun hadapan juga akan berlangsungnya majlis pecah tanah pembinaan kompleks pejabat Unifor.

Uggah menambah, Unifor yang diilhamkan oleh Ketua Menteri kelima Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan kini diteruskan oleh penggantinya merupakan pantulan terhadap dasar inklusiviti Kerajaan Sarawak.

“Banyak geran pembangunan fizikal, pembaikan atau pengubahsuaian pelbagai rumah ibadat selain disalurkan melalui Unifor.

“Selain itu, ada satu lagi tugas penting iaitu untuk mendapatkan tanah bagi tujuan perkuburan. “Tahun ini sahaja, sejumlah RM30 juta diluluskan kepada Unifor dan di bawah fasa pertama pengagihan bantuan, RM19.1 juta sudah dikeluarkan bagi membangunkan 109 projek.

“Manakala pada fasa kedua melibatkan baki RM10.9 akan dilakukan pada tahun hadapan,” ujarnya.

Selain itu tambahnya, di bawah Projek Rakyat 2019, Abang Johari telah meluluskan 16 projek lain yang bernilai RM16.2 juta.

Sejak penubuhannya pada April, 2017 hingga Oktober tahun ini, Unifor menerima 667 permohonan bantuan dan ia semakin banyak menjelang akhir Disember ini.

Uggah dalam pada itu menyatakan senario berkongsi perayaan di Sarawak jelas menunjukkan tiada prasangka dan kecurigaan antara satu sama lain.

“Inilah tradisi yang kita perlu pelihara dan pertahankan agar usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri paling progresif menjelang 2030, tercapai.

“Ketaasuban terhadap fahaman yang tidak terkawal akan menghalang, malah membunuh kemajuan dan kestabilan.

“Justeru, Kerajaan Sarawak berusaha untuk memupuk kebebasan beragama. Kebebasan beribadah akan terus menjadi kubu demokrasi memandangkan Sarawak menganggap kebebasan sebagai langkah lebih ke depan dengan agama-agama bukan Islam turut dibantu demi kesejahteraan melalui Unifor,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat berbilang agama dan kaum terus menghidupkan amalan rumah terbuka untuk mengukuhkan keharmonian, perpaduan dan ikatan yang sedia terjalin.

“Kepada semua penganut Kristian, saya serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Krismas. Semoga Tuhan memberkati kita semua,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak