Import asing beri perbezaan

TONGGAK Kuching FA yang juga bekas pemain Malaysia, Joseph Kallang Tie, 32, menjelaskan kehadiran empat pemain import asing akan memberikan perbezaan dalam saingan Liga Premier 2020.

Malah, kata bekas pemain Sarawak, Terengganu, Pahang dan Selangor itu, tiada perbezaan ketara antara Liga M3 dan Liga Premier.

“Bagi saya perbezaan Liga M3 dan Liga Premier tidaklah jauh sangat… cuma kuota pemain import asing yang memerlukan empat pemain. “Jadi, itulah kelebihan untuk pasukan yang bertanding dalam Liga Premier,” ujar Joseph yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 2011 hingga 2016.

Joseph merupakan watak penting Kuching FA sepanjang saingan Liga M3, muncul sebagai penjaring terbanyak untuk Kuching dengan 17 ledakan gol.

Menyedari saingan yang mencabar dalam Liga Premier, Kuching FA perlu menggandakan usaha.

“Banyak yang perlu kami fokus mulai sekarang. Memandangkan liga bermula pada penghujung Februari… jadi masih banyak masa untuk kami baiki apa yang patut,” katanya.

Sepanjang saingan Liga M3, Joseph beraksi sebagai penyerang tunggal, lebih banyak menguasai bahagian atas, menyambut hantaran untuk disudahi dengan jaringan.

Namun musim 2020 bakal menjanjikan senario berbeza buat Joseph. Kemungkinan besar, jurulatih Kuching FA, Ideris Untong akan mengubah posisi Joseph, sebagai pemain sayap, posisi kegemarannya atau tengah.

Ini kerana Kuching FA bakal mengambil tenaga import asing untuk mengisi slot serangan bagi menambahkan sengat sebagai bahagian penyudah.

Sepanjang Liga M3, Kuching FA banyak bergantung kepada Joseph dan Sufizal Ismail sebagai penyerang utama.

Kedua-duanya berfungsi dengan baik.

Sementara itu, Kuching FA akan mengambil tiga lagi import asing bagi melengkapkan kuota empat pemain.

Sekarang ini, hanya Yuta Suzuki yang berada dalam senarai, manakala tiga lagi dalam proses penilaian. Mereka ialah bekas bintang Pahang, Selangor, Kelantan dan Terengganu, Francis Forkey Doe serta dua pemain dari Jepun dan seorang lagi adalah bekas pemain JDT.

Suara Sarawak