Itik ‘Palao’ hidangan istimewa Hari Krismas

KUCHING: Bagi keluarga Philip Engkapan, 63, sambutan Hari Krismas setiap tahun disambut secara sederhana, namun ia terasa tidak lengkap tanpa menu wajib yang sentiasa disajikan sejak turun temurun sempena sambutan ini, iaitu hidangan Itik ‘Palao’.

Beliau berkata hidangan tradisi itu yang telah diamalkan sejak lebih 50 tahun oleh keluarganya, menjadi tarikan sanak saudara yang datang berkunjung setiap menjelang Hari Krismas.

“Itik ‘Palao’ atau Itik berempah itu dimasak dengan menggunakan ramuan istimewa seperti herba cina, akar lada, daun bungkang, kayu manis dan lengkuas yang perlu diperapkan dan dimasak kira-kira 60 minit sebelum boleh dimakan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, bapa kepada tiga anak itu berkata keluarganya keluar rumah seawal pukul 7.30 pagi tadi untuk ke gereja St. Francis di Kota Samarahan bagi upacara sembahyang sempena Krismas, sebelum melakukan persiapan terakhir sambutan, dan seperti tradisi sebelum ini, saudara mara akan datang berkunjung ke rumah.

Menurut Philip tahun ini anak sulungnya, Farah Nasuha, yang memeluk agama Islam dan menetap di Johor lebih 10 tahun, tidak dapat balik bersama keluarga pada kerana mempunyai urusan kerja.

Di Sarawak, beberapa gereja di sekitar bandar raya Kuching, antaranya St Joseph’s Cathedral dan St Thomas’ Cathedral di Jalan Tun Abang Haji Openg menjadi tumpuan penganut agama Kristian sejak awal pagi untuk acara keagamaan.– BERNAMA

Suara Sarawak