JKNS perkenalkan Projek rintis Perkhidmatam Motosikal First Responder mulai tahun  hadapan

KUCHING: Projek rintis inisiatif perkhidmatan motosikal First Responder akan diperkenalkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sebagai usaha mengurangkan tempoh masa respon ambulans untuk sampai ke tempat kecemasan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim dalam satu kenyataan menjelaskan untuk fasa pertama projek rintis tersebut akan melibatkan pembelian tiga buah motosikal dan setiap satunya akan diserahkan kepada hospital utama di negeri ini iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri.

Jelasnya lagi setiap motosikal akan dilengkapi dengan keperluan asas pertolongan cemas yang mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

“Kesemua motosikal tersebut dijangka akan memulakan operasi perkhidmatannya pada Januari tahun 2020.

“Fungsi utamanya adalah untuk membolehkan anggota kesihatan sampai ke tempat berlakunya kecemasan yang dimaklumkan oleh orang awam menerusi Medical Emergency Coordinating Centre (MECC) atau 999, bagi pengurusan bantuan pertolongan cemas yang asas,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ujarnya lagi tindakan susulan akan disusuli dengan bantuan ambulans, sekiranya terdapat keperluan untuk membawa pesakit ke hospital.

“Pihak kita di JKNS berharap menerusi inisiatif ini, kualiti perkhidmatan rawatan pra hospital yang disampaikan kepada orang awam di negeri ini akan dapat dipertingkatkan.

“Jika projek ini menunjukkan kejayaan, Jabatan Kesihatan Negeri bercadang untuk menambah lagi bilangan motosikal bagi hospital yang terlibat serta turut diperluaskan ke bahagian-bahagian lain untuk meningkatkan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak