Kawalan kenaikan harga barangan menjelang Krismas diaktifkan

BINTULU: Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 bagi Bahagian Bintulu, Tatau dan Sebauh akan bermula Ahad ini sehingga 31 Disember, melibatkan 17 jenis barangan.

Tempoh kuat-kuasa adalah selama sepuluh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan enam hari selepas hari perayaan.

Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Cawangan Bintulu, Salihin Den berkata, skim yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu bertujuan mengawal kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas pada 25 Disember ini.

Peniaga turut diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.
Beliau berkata, tindakan tegas termasuk denda dan tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut skim itu.

Katanya, peniaga diingatkan tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan, perlu meletakkan tanda harga merah jambu, memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran dan mengguna alat timbang dan sukat yang telah diluluskan.

Gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, untuk individu kesalahan pertama boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, manakala denda tidak melebihi RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 dikenakan kepada syarikat atas kesalahan pertama, serta denda tidak melebihi RM1 juta untuk kesalahan kedua dan berikutnya.

Dalam usaha melindungi pengguna, kementerian turut meningkatkan pegawai penguat kuasa di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan ‘omnipresence’.

“Ini bertujuan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguat kuasa,” katanya.

Selain itu, KPDNHEP turut memperkukuh pemantauan harga dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu pegawai pemantau harga, Rakan KPDNHEP dan kerajaan negeri serta agensi kerajaan termasuk pembabitan penghulu dalam usaha pemantauan serta penyaluran maklumat kenaikan harga barang.

“Pengguna boleh salurkan sebarang aduan melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, WhatsApp ke 0192794317, talian bebas tol 1-800-886-800, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDNHEP atau Pusat Informasi dan Gerakan Strategik(PIGOS) di talian 03- 8882 6088 jika peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim ini,” katanya.

Suara Sarawak