Kawalan lalu lintas sempena perarakan Buddha bermula petang ini

KUCHING: Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuching akan melaksanakan kawalan lalu lintas di sepanjang laluan perarakan Buddha bermula jam 4.30 petang sehingga 10 malam di Tokong bersebelahan Century Hotel, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata perarakan Persatuan Penganut Agama Buddha Wat Phuttart Sritrep Petchabun bakal melibatkan seramai kira-kira 250 peserta dan juga 20 buah kenderaan yang akan mengikuti program.

“Perarakan akan mula bergerak melalui Century Hotel, Jalan Taman Hui Sing, Jalan Batu Tiga, Jalan Rock, lampu isyarat Wisma Saberkas, Jalan Batu Lintang, Lampu isyarat Jalan Mendu, Jalan Tun Jugah, Flyover Jalan Tun Jugah, Jalan Song, bulatan Stutong, Saradise BDC, seterusnya kembali semula ke tokong.

“Kawalan di sepanjang laluan berkenaan akan dilakukan bagi memastikan perarakan keagamaan ini dapat dilakukan dengan lancar,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

LOKASI… Peta kawasan perarakan Buddha “Persatuan Penganut Agama Buddha Wat Phuttart Sritrep Petchabun” diadakan

Tambahnya, orang awam turut diminta agar merancang masa perjalanan serta mematuhi isyarat kawalan lalu lintas ketika berada di laluan perarakan demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Mana-mana pihak awam yang gagal mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan berpandukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987”, tegasnya.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah Kuching di talian 082-221129.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak