Kuching Paragon mercu baharu Sarawak

KUCHING: Batu Lintang akan dibangunkan sebagai sebuah bandar baharu dikenali sebagai Kuching Paragon yang menelan kos pembinaan sebanyak RM190 juta, kata Pengarah Urusan Kumpulan Naim Datuk Hasmi Hasnan.

Katanya, syarikat Naim Holdings Berhad dengan kerjasama TBS dan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak bersetuju membangunkan Kuching Paragon melalui satu MoU yang ditandatangani lapan tahun lalu.

“Kos pendahuluan pembinaan ialah RM10 juta apabila TBS dan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak masing-masing menyumbang RM1.5 juta, manakala bakinya RM7 juta dibiayai Naim,” ujarnya.

Beliau berkata demikin selepas pelancaran Kempen Amal Naim yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Jelas Hasmi, meskipun ekuiti Kuching Paragon agak kecil tetapi kebanyakannya kapitalnya dibiayai Kumpulan Naim.

“Ini kerana kita ingin membawa beberapa pelabur ke Kuching Paragon apabila terdapat perubahan dalam landskap Batu Lintang.

“Salah satunya ialah memperbesarkan Pusat Perubatan Pakar Timberland yang dibiayai oleh Dana Ekuiti Singapura,” katanya tanpa mengulas lanjut perincian pembangunan Kuching Paragon.

Tambahnya lagi setakat ini, reka bentuk hospital terbabit diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kini menunggu kelulusan daripada Kerajaan Sarawak.

Mengulas mengenai Kempen Amal Naim, Hasmi memberitahu, ia diadakan sempena ulang tahun ke-25 syarikat itu.

“Kita akan menyumbang RM250 untuk setiap unit hartanah yang dijual tahun depan sehingga mencapai minimum RM250,000 dan diagih kepada 25 badan bukan kerajaan (NGO) terpilih,” katanya.

Suara Sarawak