McDonald’s raikan warga kelainan upaya

KUCHING: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC) serta McDonald’s Malaysia dan syarikat tempatan Will Global Trading meraikan sambutan Hari Orang Kelainan Upaya bersama-sama warga kurang upaya di pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Sri Satok baru-baru ini.

Pengurus Besar RHMC Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, program tersebut merupakan antara lebih daripada 10,000 aktiviti kebajikan di bawah platform McD & RHMC setiap tahun.

“RHMC merupakan pertubuhan NGO yang fokus kepada kanak-kanak berumur 18 tahun dari sudut kebajikan, kesihatan dan pendidikan.

“Pertubuhan ini beribu pejabat di Kuala Lumpur dan menyediakan kemudahan penginapan RMHC yang berkonsepkan home-away-from-home untuk keluarga pesakit dalam kawasan hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyediaan rumah tersebut bertujuan memudahkan sebuah keluarga pesakit sentiasa berada dekat dengan anak masing-masing ketika mendapat rawatan.

Menurut Nasri, baru-baru ini RHMC turut mengagihkan lebih 30,000 pek Kembali Ke Sekolah ke seluruh negara.

RHMC menyumbang pek tersebut melalui Pertubuhan Skuad Bantu Rakyat yang diketuai oleh Datuk Wan Abdillah Edruce Datuk Seri Wan Abdul Rahman dengan sokongan syarikat Will Global Trading.

Menurut Nasri, RMHC ketika ini menaja antara 50 hingga 70 pembedahan pembetulan sumbing dan lelangit setiap tahun melalui dana sumbangan program Gift of Smile yang dijalankan oleh persatuan itu.

Beliau yakin dengan dana tersebut, banyak anak yang dilahirkan sumbing dapat dibantu dengan kepakaran sedia ada di Hospital Umum Sarawak.

Turut hadir pada sambutan Hari Orang Kelainan Upaya ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau menyeru agar banyak lagi penglibatan syarikat tempatan untuk bekerjasama dengan RMHC dalam membantu mereka menyumbangkan dana kepada golongan kelainan upaya di Sarawak.

Suara Sarawak