Pemimpin baik lawan pemimpin jahat

APABILA bercakap tentang pemimpin, semua orang ingin memimpin sesebuah organisasi. Pernah terjadi, perebutan berlaku untuk jawatankuasa organisasi peringkat kampung.

Bukan sedikit, tetap banyak kali sudah berlaku. Terdapat dua kumpulan yang berebut jawatan dengan masing-masing mengemukakan ideologi tersendiri.

Akhirnya disebabkan tidak mahu berlaku perebutan dan atas nasihat orang berpengalaman, satu kumpulan menarik diri. Tidak sekadar itu, mereka juga tidak menghantar borang pencalonan. Dibiarkan kumpulan yang satu lagi menang tanpa ditandingi.

Maka, bermulalah episod baharu.

Pemenang ini tadi mula bermegah. Sudah ada jawatan penting dalam kampung, tanpa disedari setiap tindak-tanduk mereka diperhatikan dan setiap inci pergerakan dinilai.

Mula-mulanya mereka begitu bersemangat. Apa-apa sahaja projek yang masuk kampung direbut. “Kami berhak dengan projek ini! Mana-mana projek mesti melalui kami!” Ini lantang diutarakan.

Tetapi, apabila melibatkan penganjuran program untuk orang kampung, mereka diam seribu bahasa. Langsung tiada tindakan. Jika melibatkan wang, macam-macam idea dikeluarkan. Melihat situasi ini, sebenarnya semua orang boleh menjadi pemimpin.

Dan, sesiapa sahaja juga ingin menjadi pemimpin tidak kiralah organisasi yang ingin dipimpin itu kecil ataupun besar. Ada yang benar-benar mahu memimpin demi kemajuan tetapi tidak kurang yang hanya melihat kebendaan, terutamanya wang.

Ada juga yang hanya mahukan pangkat. Dapat juga digunakan untuk bermegah dengan orang lain. Tetapi, tidak semua orang mampu menjadi pemimpin yang baik. Pemimpin sebegini sukar dicari, tetapi ada. Jika salah pilih, pemimpin yang dipilih itu boleh menjadi jahat hanya dalam sekelip mata.

Kesan diterima bukan untuk sehari atau dua hari, tetapi untuk jangka masa panjang. Sebab itu, sejak kebelakangan ini dalam akhbar ini banyak diketengahkan laporan tentang pemimpin. Mungkin disebabkan tidak lama lagi akan diadakan pilihan raya negeri.

Semalam, tajuk “Tidak mahu pemimpin jahat!” menarik untuk dibaca. Walaupun beritanya agak ringkas, namun perkara di sebalik berita itu amat baik untuk diamati.

“Pemimpin yang baik lahir daripada seorang yang mengamalkan ajaran agama yang betul. Kita tidak mahu pemimpin yang jahat, kaki tipu serta menindas rakyat. Saya percaya semua rakyat mahu pemimpin mereka daripada kalangan yang baik,” petikan dalam berita itu.

Jelas di sini bahawa pemimpin harus jujur dan penuh integriti ketika melaksanakan tugas sebagai pemimpin. Itu amanah dan amanah wajib dilaksanakan. Kepemimpinan mereka mesti bersandarkan agama. Tidak kiralah anutan agamanya, pemimpin itu harus mempunyai kekuatan agama. Ini bagi mengelakkan mereka tergelincir menjadi pemimpin jahat.

Lebih-lebih lagi orang yang dipimpin itu ialah rakyat, yang bilangannya bukannya sedikit. Ini kerana rakyat tidak mahukan pemimpin yang hanya pandai omong kosong. Rakyat juga mahukan pemimpin yang baik. Bijak menangani pemasalahan rakyat. Paling penting jujur dengan rakyat. Segala tindakan adalah demi orang di bawah kepemimpinannya. Tidak pada yang lain.

Suara Sarawak