Pemimpin Semenanjung harus belajar daripada pemimpin Sarawak – Uncle Kentang

BETONG: Kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg wajar dijadikan contoh bagi kebanyakan ahli politik di Semenanjung Malaysia.

Aktivis kemasyarakatan Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (gambar) memberitahu, orang politik di Semenanjung sepatutnya dihantar ke Sarawak untuk belajar mengenai perpaduan dan semangat kerjasama.

“Pemimpin politik tetapi bukan semua. Kebanyakannya seharusnya berjumpa pemimpin Sarawak. Jumpa dan belajar… tanya rahsia yang Sarawak guna untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian.

“Tempatkan pemimpin Semenanjung di Sarawak untuk mempelajari cara hidup masyarakatnya,” katanya kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya semalam. Jelasnya, ramai pemimpin politik Semenanjung angkuh dan biadap.

“Di dalam Dewan Rakyat, mereka bukannya hendak bercerita bagaimana membantu rakyat, tetapi masih bercakap benda yang berunsur dendam dengan kerajaan terdahulu.

“Mereka tiada maruah dan integriti sebagai pemimpin. Malah, suka membuang masa. “Mereka tiada standard sebagai pemimpin,” katanya.

Terdahulu pada 27 Disember, Uncle Kentang membantu dua individu berasal dari Kampung Hilir Sri Aman berada dalam kesusahan selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Memetik status Facebooknya, beliau menghantar kedua-duanya ke lapangan terbang secara percuma. “Saya bertanya dengan suara keras, berapa duit yang kamu ada untuk balik ke Kampung Hilir Sri Aman? Jangan tipu saya! “Saya sedih apabila mereka menyatakan hanya ada RM100 dan duit tambang dari Kuching ke Sri Aman sahaja sudah RM60 (dua orang) selain RM30 untuk ke Pekan Simanggang dari simpang, maka baki tinggal RM10.

“Lantas saya hulurkan RM100 untuk mereka makan,” jelasnya.

Beliau menambah, pihaknya menyediakan pengangkutan percuma dua hala untuk orang Sarawak dan Sabah dari KLIA ke hospital. Status Uncle Kentang semalam disukai lebih 6,200 peminatnya dan dikongsi lebih 900 pengguna Facebook selain mendapat kira-kira 600 respons yang memuji sikap ikhlasnya membantu orang Sarawak dan Sabah.

Suara Sarawak