Pertemuan BPJ  dengan Project Park FC dijangka sengit

BINTULU: Pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan iaitu BPJ dan Project Park FC dalam perlawanan akhir Liga Bola sepak Bintulu LSC 2019 merebut Piala Pusingan YB Datuk Haji Talib Zulpilip pada Sabtu ini di Stadium Bintulu dijangka sengit.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BIFA), Mohamad Zaifulfadillah Haji Junaidi menyifatkan pertembungan dua pasukan gergasi itu merupakan saingan hebat dalam kancah sukan bola sepak tempatan akhir dekad ini.

Menurutnya, kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain berpengalaman yang pernah menjulang pasukan Bintulu FA menjuarai Piala Sarawak 2018.

Penganjuran Liga Bintulu-LSC 2019 mendapat sambutan memberansangkan dengan penyertaan 14 pasukan menyaksikan sebanyak 44 perlawanan dan setakat ini 210 gol telah dijaringkan sepanjang perlawanan berlangsung bermula 5 Oktober lalu.

Bercakap mengenai dua finalis tahun ini, Mohamad Zaifufadillah menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri untuk bergelar juara.

Project Park FC dilihat telah menyenaraikan empat pemain yang telah membantu Kuching FA naik ke Liga Perdana musim depan (2020)menerusi pasangan adik beradik Shahran Abdul Samad dan Samsu Alam selain pemain pertahanan kental Ramesh Lai dan pemain tengah Jimmy Raymond.

Kehadiran keempat-empat pemain terbabit antara kelebihan dalam memperkuatkan pasukan Project Park.

Namun, pasukan BPJ juga tidak kurang hebatnya dengan barisan pemain berbisa seperti Mohammad Nazrul Husni yang merupakan antara penjaring terbanyak setakat ini dengan jaringan sebanyak 16 gol, selain Amar Muaz, Ronald Dennis, Ricky Shano dan David Bakeni Antas.

Dalam pada itu, mewakili BIFA, Zaifulfadillah menyeru agar peminat-peminat bola sepak Bintulu memenuhi ruangan di Stadium Bintulu untuk sama- sama menyaksi perlawanan final Liga Bola sepak Bintulu LSC 2019 yang pastinya sengit kelak.

Perlawanan akhir Liga Bola Sepak Bintulu-LSC 2019 merebut Piala Pusingan YB Datuk Haji Talib Zulpilip bakal menyaksikan pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan iaitu BPJ dan Project Park FC pada hari Sabtu ini, 14 Disember bertempat di Stadium Bintulu.

Suara Sarawak