Petronas fail bela diri

BAU: Petronas sudah menfailkan kenyataan bela diri terhadap saman Kerajaan Sarawak mengenai tuntutan cukai jualan lima peratus produk petroleum, petang Jumaat lepas.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah
Sayeed Aman Ghazali berkata, kenyataan bela diri itu dihantar dua hari sebelum tarikh tamat tempoh iaitu pada 9 Disember ini.

“Ini menunjukkan Petronas mencabar Kerajaan Sarawak terhadap kenyataan pembelaan. Ia akan dibawa ke mahkamah.

“Setakat ini, mahkamah belum memutuskan tarikh untuk pendengaran kes tersebut,” katanya pada sidang media selepas sesi penerangan mengenai MA63 sempena Program Bicara Intelektual di Dewan Suarah Bau, semalam.

Hasidah yakin Kerajaan Sarawak akan menang dalam perbicaraan tersebut.

“Petronas tidak boleh mencabar Sarawak dalam melakanakan cukai jualan produk petroleum tersebut kerana ia
termaktub dalam Perlembagaan dan Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998,” tegasnya.

Beliau memberitahu, jumlah tuntutan yang belum dibayar oleh Petronas sejak Januari hingga Jun lalu mencecah bilion ringgit.

Kerajaan Sarawak menfailkan saman terhadap Petronas kerana gagal membayar cukai jualan lima peratus produk
petroleum yang berkuat kuasa tahun ini.

Petronas satu-satunya syarikat cari gali minyak yang belum membayar cukai tersebut, manakala dua lagi syarikat cari gali minyak asing iaitu Shell dan Murphy Oil sudah melakukan pembayaran.

Suara Sarawak