RM797 juta untuk pembangunan pertanian Sarawak

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM797 juta bagi mengukuhkan pembangunan pertanian di negeri ini pada 2020.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peruntukan itu adalah untuk pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti termasuk dana kemudahan pertanian, projek bebola terumbu karang Sarawak, bantuan tunai dan peralatan untuk nelayan semasa musim tengkujuh.

“Peruntukan itu juga untuk pengumpulan, pemprosesan, pusat pembungkusan di Serian, Betong, Lawas, Limbang, Samarahan dan Miri serta projek pembangunan tanaman, perikanan dan ternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada majlis perasmian Mesyuarat Pengembangan Pegawai Penyelidikan (ROPM) 2019 di sini, hari ini.

Uggah berkata sektor pertanian negeri perlu dikukuhkan kerana ia hanya menyumbang kira-kira 14 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2018.

“Angka itu kurang daripada dua peratus disumbangkan oleh tanaman makanan. Kita juga menghadapi defisit perdagangan makanan kira-kira RM3.8 bilion pada 2018. Ini dijangka meningkat kepada kira-kira RM6 bilion pada 2030 jika kita masih menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak