Sarawak negeri pertama miliki Akaun Satelit Pelancongan serantaunya sendiri

KUCHING: Sarawak menjadi negeri perintis di Malaysia yang memiliki Akaun Satelit Pelancongan (TSA) serantaunya sendiri, satu kaedah popular dan diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk mengukur sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dengan adanya TSA, kerajaan Sarawak dan peserta industri pelancongan sudah tentu akan dilengkapi dengan data berwibawa untuk mewujudkan strategi serta dasar baharu yang berkesan untuk membawa manfaat ekonomi yang sangat besar.

“Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi memastikan maklumat sentiasa dikemas kini dalam TSA kita.

“Sebagai tambahan, sejajar dengan strategi pembangunan ekonomi Sarawak ke arah digital Sarawak, kementerian saya menambah baik dan menyediakan pelbagai maklumat statistik pelancongan dalam format digital bertujuan melancarkan penyediaan data yang pantas, tepat serta terkini bagi industri pelancongan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Akaun Satelit Pelancongan Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting dan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata berdasarkan statistik pada 2018, industri pelancongan Sarawak menyumbang sejumlah RM122 bilion daripada RM1.177 trilion Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

“Dengan penduduk Sarawak hanya berjumlah 1.8 juta, ia sesuatu yang baik berbanding negeri lain.

“Sebelum ini (2017), Sarawak berada di kedudukan keempat. Kebanyakan negeri kini berusaha ke arah mempertingkatkan prestasi ekonomi masing-masing,” katanya.– BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak