Sitok Kuching sasar remaja, belia

KUCHING: Program Sitok Kuching menawarkan pelbagai produk yang menarik perhatian pengunjung khususnya remaja.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program itu mengetengahkan peserta yang berkebolehan dalam masakan, anyaman dan sebagainya.

Menurutnya, semua peserta datang dari seluruh negeri serta dari Kuala Lumpur.

“Disebabkan itu, kami menyediakan jualan makanan dan masakan dari Kuala Lumpur. Saya yakin mereka ini cukup terkenal di tempat masing-masing,” katanya pada sidang media sempena program Sitok Kuching di Tebingan Kuching, semalam.

Abdul Karim menambah, dengan pelbagai produk yang mengikut trend terkini, ia mampu menarik kehadiran pengunjung.

“Saya percaya program ini dapat menarik perhatian pengunjung khususnya belia,” jelasnya.

Beliau menjangka ribuan pengunjung akan hadir kerana terdapat juga program lain berlangsung di sekitar bandar raya ini.

“Kami akan melihat sambutan pengunjung ke program ini.

Sekiranya berjaya, kami akan mempertimbangkan Sitok Kuching sebagai acara tahunan.

“Biasanya program yang dimulakan dengan usaha kecil akan menjadi lebih besar.

“Misalnya Rainforest Music Festival. Tahun pertama hanya 300 penonton tetapi selepas tiga tahun, ia meningkat kepada 20,000 orang,” tambahnya.

Abdul Karim juga menjelaskan, jumlah pengunjung ke Sarawak hingga Oktober lalu menningkat
4.69 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Jumlah pengunjung sudah menjangkau 3.7 juta hingga Oktober. Saya jangkakan jumlah ini akan menjangkau empat juta orang hingga hujung bulan ini,” katanya.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee turut hadir.

Suara Sarawak