Suara Sarawak, Pontianak Post terokai kerjasama

PONTIANAK: Akhbar Suara Sarawak kini menjalinkan kerjasama strategik dengan akhbar Pontianak Post yang berpangkalan di bandar ini.

Kerjasama strategik ini merangkumi pertukaran kandungan berita serta iklan, melibatkan kedua-dua akhbar, terutama berkaitan kepentingan kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak, Dr Jeniri Amir ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan, kerjasama tersebut termeterai hasil perbincangan kedua-dua redaksi penerbitan pada Jumaat.

“Hasilnya beberapa persetujuan telah dicapai dan kita akan menandatangani perjanjian berkaitan tidak lama lagi.

Katanya, antara yang hadir dalam perbincangan tersebut ialah Pengarah Pontianak Post, B Salman dan Ketua Editor Pontianak Post Online, Shando Safela.

“Bapak Salman begitu optimis dengan kerjasama ini dan mengharapkan ia adalah permulaan kepada usaha yang lebih besar,” katanya lagi.

Ini merupakan langkah strategik terkini yang diambil oleh Suara Sarawak, yang sebelum ini memeterai kerjasama dengan akhbar Sinar Harian dan kumpulan Media Prima Berhad.

Terdapat lebih 130 ribu tenaga kerja Indonesia di Sarawak manakala Sarawak terutamanya Kuching, merupakan destinasi perubatan utama warga Indonesia.

Suara Sarawak