Tarik pelancong melalui tulisan

KUCHING: Pengamal media memainkan peranan penting untuk mempromosikan bandar raya Kuching ke mata dunia menerusi karya yang menarik.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, tulisan pengamal media mampu mempengaruhi setiap keputusan pengunjung ke bandar raya ini secara langsung.

“Justeru, usaha pengamal media mampu meningkatkan peluang pelaburan ke bandar raya Kuching, sekali gus menjadi destinasi pelancongan.

“Saya berharap supaya kerjasama antara pengamal media dengan MBKS kekal erat dalam mempromosikan bandar raya Kuching kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Wartawan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di sini, malam semalam.

Menurut Hong Seng, meskipun masih baharu sebagai datuk bandar, beliau menyaksikan pengamal media amat menyokong pihak berkuasa tempatan selama ini.

“Saya membaca laporan media arus perdana mengenai pihak berkuasa tempatan, termasuk pengumuman, polisi, pelaksanaan projek dan sebagainya tidak kira hujan atau panas.

“Saya amat menghargainya terutamanya apabila media melaporkan perkara yang baik tentang kami,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, langkah pengurusan media arus perdana dalam mengurangkan jumlah kakitangannya memberi kesan kepada industri terbabit secara keseluruhannya.

“Langkah ini menyebabkan sebahagian besar wartawan hilang mata pencarian.

“Walaupun berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Namun, kami tidak pernah lupa jasa dan bakti media dalam membuat liputan pelbagai acara,” ujarnya.

Justeru, Hong Seng melahirkan sokongan tidak terhingga terhadap wartawan yang terkesan dalam pengecilan operasi syarikat media masing-masing.

Majlis turut dihadiri Presiden KDJA Jacqueline David serta 100 wartawan yang lain.

Suara Sarawak