Wanita AIM harus proaktif rebut peluang perniagaan

BINTULU: Wanita Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM) harus merebut peluang perniagaan yang disediakan agensi itu seiring perkembangan pesat sosio ekonomi Bintulu khususnya Kidurong dan Samalaju masa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata perkembangan pesat Bintulu, membolehkan penyediaan lebih banyak peluang dan ruang pekerjaan sekali gus menghimpun masyarakat dari seluruh pelosok negeri untuk mencari sumber rezeki di bandar Bintulu,

Malah, katanya, kewujudan pelbagai kilang dan loji di Kawasan Perindustrian Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju
menjadi pertembungan utama masyarakat.

Bintulu bukan sahaja sebagai sebuah bandar minyak dan gas, malah kawasan DUN Samalaju di bawah pentadbiran Daerah Bintulu menempatkan industri utama negara,ujarnya berucap merasmikan program ‘Nay Telow Penyak Qelem Sakai Sahabat 2019 anjuran Kelab  Wanita Ikhtiar Bintulu di Restoran Dinner World, di sini, malam ini.

Justeru, beliau berharap semua wanita AIM Bintulu akan  lebih proaktif  merebut peluang yang ada untuk menceburkan diri dalam perniagaan bersama AIM meskipun hanya dijalankan dalam skala  kecil.

Menurut Majang lagi, beliau difahamkan  program yang dilaksanakan  AIM telah banyak membantu peniaga-peniaga kecil  memasarkan produk keluaran mereka sekali gus memperkasakan ekonomi setempat.

Langkah permulaan ini jika benar-benar diusahakan dengan baik dan penuh dedikasi serta tadbir urus yang baik  pasti akan dapat membolehkan mereka yang terlibat menjadi usahawan yang berjaya suatu hari kelak, katanya lagi.

ADUN Samalaju itu turut yakin  program yang telah dirangka bersama AIM dan Sahabat AIM mampu melonjak  sosioekonomi seiring dengan pembangunan Bintulu ke arah mencapai matlamat Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 di samping yakin agensi itu akan sentiasa berusaha menawarkan perkhidmatan terbaik   kepada usahawan-usahawan mikro yang sedang giat dibangunkan ketika ini.

Justeru, beliau menggesa saya semua Sahabat AIM terutama  ahli Kelab Wanita Ikhtiar Bintulu agar lebih proaktif ke arah mencapai matlamat tersebut.

Penolong Pengurus AIM Wilayah  Utara, Wahi Bolhi, Pengurus Cawangan  AIM, Mohammad Idris Rapaie, pengerusi Kelab Wanita Ikhtiar Bintulu, Rabiah Kameri dan Pegawai Khas KEPADA Ahli Parlimen Bintulu, Azman Abdul Rahman hadir sama.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak