Abang Johari ambil berat pembangunan di Telok Melano

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat mengambil berat akan pembangunan Telok Melano di Tanjuong Datu.

Abang Johari mengakui sendiri keindahan fauna dan flora, pantai, taman negara, makanan laut, gunung serta penduduk Telok Melano yang ramah, yang mampu menjadi aset penting memajukan kawasan tersebut sebagai tapak pelancongan masa depan.

Sebelum ini, Telok Melano dan Telok Serabang hanya dapat dikunjungi dengan menaiki bot yang mengenakan tambang bot yang mahal, memakan masa dan merentasi laut serta terhenti perkhidmatannya pada musim tengkujuh.

Kini, kawasan tersebut mudah dikunjungi hanya melalui Jajaran Sematan-Telok Melano sejauh 33 kilometer menelan kos sekitar RM580 juta.

Jajaran Sematan-Telok Melano dibuka rasmi 26 Januari lepas oleh Abang Johari bersama-sama Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Jajaran jalan raya penting ini membuka daerah bersebelahan sempadan Kalimantan menjadi lebih dekat dengan Sematan dan berjaya membuka peluang baru kepada penduduk sekitar 8,000 orang di situ.

Sebelum ini, Tanjong Datu aset penting Sarawak yang terletak bersebelahan dengan Kalimantan itu menerima 600 projek dengan kos melebihi RM1.3 bilion.

Semasa pimpinan mantan ketua menteri Allahyarham Pehin Seri Adenan Satem atau Tok Nan yang juga bekas Adun Tanjong Datu mengimpikan Telok Melano mendapat akses jalan raya daripada manfaat projek Lebuh Raya Pan Borneo yang menelan anggaran kos keseluruhan RM16.488 bilion.

Beliau meminta agar kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano dibangunkan menjadi destinasi pelancongan utama Sarawak.

Pantai, keindahan laut, ekopelancongan dan pelancongan marin serta kekayaan fauna dan flora di dalam kawasan Telok Melano bakal menjadi modal dan menjana ekonomi untuk pelancongan masa depan.

Sementara, Taman Negara Tanjong Datu mencipta namanya sendiri di dalam DUN Tanjong Datu, sebaris Taman Negara Gunung Gading yang terkenal dengan bunga Pakma atau Rafflesianya, Pantai Pandan, Air Terjun Jangkar, Air Terjun Sebako, Gunung Pueh, Taman Perlindungan Hidupan Liar Samunsam, Rumah Api Tanjong Datu dan Dua Tanduk Borneo.

Berkaitan, prasarana selain jalan raya, elektrik dan air bersih, Abang Johari sangat prihatin dengan kemudahan liputan internet dan talian telefon, sehingga beliau meminta Menteri Kemudahan Awam Datuk Seri Stephen Rundi Utom mengenal pasti dan menambah baik prasarana ini secepatnya.

Kerajaan Sarawak seawal 2017 menyasarkan sebahagian besar pedalaman di negeri ini dihubungkan dengan talian komunikasi berkelajuan tinggi menjelang 2025.

Menara telekomunikasi di Kampung Telok Melano bernilai RM1 juta yang siap sebelum ini pasti dipertingkatkan kekurangan jurang digitalnya seiringan siapnya jalan raya di situ.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak