RM30 juta bantu siswazah ringankan beban PTPTN

Prihatin dengan pendidikan anak-anak Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperuntukkan RM30 juta bagi membantu siswazah membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Perkara ini diumumkan Abang Johari semasa Pembentangan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-18, menggambarkan keprihatinan dan sikap tanggungjawab Kerajaan Negeri membantu siswazah anak-anak Sarawak.

Pembayaran pinjaman melalui Yayasan Sarawak itu bertujuan mengelak graduan terlibat dengan permasalahan lain seperti larangan ke luar negara yang menyukarkan mereka berurusan atau mencari kerja di luar.

Peruntukan membantu siswazah yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman pendidikan atas sebab tertentu itu, diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, pinjaman tersebut perlu dibayar balik kepada Yayasan Sarawak mengikut mekanisme yang telah ditetapkan.

Abang Johari memberi tempoh enam bulan bagi pihak kementerian mencari pendekatan komprehensif berkaitan bantuan bayaran balik pinjaman PTPTN itu.

Berkaitan pendidikan juga, Abang Johari komited meneruskan usaha membantu menempatkan pelajar Sarawak di luar negara seperti di Stamford Universiti Amerika Syarikat.

Ketua Menteri turut menjelaskan bahawa pihak Cambridge Universiti dan London School Of Economics sentiasa memberi tempat kepada pelajar di Sarawak setiap tahun.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak