KUALA LUMPUR: Pertempuran menentang komunis di dalam hutan pada 30 tahun yang lepas, sehingga ada rakan sepasukan yang tercedera menjadi antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sehingga hari ini.

Zulkifli berkata semasa itu beliau menyandang jawatan sebagai Leftenan Muda dan mula ditugaskan untuk memerangi komunis sejak 1979 lagi sehingga gerakan itu meletakkan senjata pada 1989.

“Dalam tempoh berkenaan hampir 250 anggota tentera yang cedera di seluruh negara, namun ramai dalam kalangan rakyat masa kini tidak mengetahui jerihnya perjuangan menentang komunis.

“Saya yakin veteran yang pernah berjuang demi kemerdekaan tanah air ini tidak akan mengizinkan perkara yang sama berulang kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis Perbarisan Penghargaan PAT ke-20 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini.

Oleh itu, masyarakat tidak terpedaya atau terikut-ikut dengan mana-mana pihak yang cuba menerapkan anasir negatif seperti PKM dan isu lain, kata Zulkifli.

“Saya yakin bahawa veteran juga amat risau bahawa perkara sama (komunis) akan berlaku jika tidak ditangani dengan positif,” katanya.

Pada masa yang sama anak kelahiran Port Weld, Perak itu turut melahirkan rasa syukur di atas penghasilan Kertas Putih Pertahanan yang mendapat komitmen bersepadu oleh semua pihak terutamanya rakyat Malaysia.

Kertas putih pertahanan ini memberikan gambaran bahawa semua pihak akan memainkan peranan penting dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

“Kertas putih ini juga perlu dijiwai kerana ia akan jadi titik permulaan yang semua akan bersatu dan tidak akan sesekali membuat kenyataan yang remeh,” jelasnya.

Sementara itu, perbarisan berkenaan diadakan sebagai tanda penghormatan tertinggi di atas jasa Zulkifli, 61, yang akan mula bercuti esok dan pengorbanannya selama empat dekad berkhidmat dalam pasukan itu.

Perbarisan itu melibatkan 17 pegawai dan 462 anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja, Left Kol Khairul Azman Kormin.

Beliau dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 pada 20 Jun, 2018 kini digantikan oleh Jen Tan Sri Affendi Buang yang juga bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), berkuatkuasa hari ini. – Bernama